Baru tahu ada had keluarkan KWSP akaun 3, tak boleh keluar semua rupanya

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menetapkan had maksimum pengeluaran wang daripada Akaun Fleksibel secara terus sebanyak RM250 sehari, dengan minimum RM50.

Menurut KWSP, bayaran akan dibuat secara pengkreditan terus ke dalam akaun bank ahli.

Namun mereka yang ingin mengeluarkan wang lebih RM250 perlu melalui prose e-KYC.

Secara amnya, ahli tidak perlu hadir di Pejabat KWSP bagi tujuan di atas kerana pengesahan identiti juga boleh dibuat secara dalam talian tertakluk kepada sejarah rekod ahli dan amaun pengeluaran tidak melebihi RM30,000.

Bagi ahli yang tiada rekod pengeluaran atau maklumat akaun bank adalah berbeza dengan rekod pengeluaran terdahulu, ahli perlu mengesahkan identiti melalui: Pengesahan cap ibu jari di Self-Service Terminal (SST) KWSP bagi amaun permohonan pengeluaran lebih RM10,000; ATAU pengesahan dalam talian tertakluk kepada amaun permohonan pengeluaran kurang daripada RM10,000.

Proses e-KYC atau ‘electronic Know-Your-Customer’ adalah satu proses pengesahan identiti secara elektronik melalui teknologi pengecaman wajah di aplikasi KWSP i-Akaun.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Simpanan dalam Akaun Fleksibel iaitu 10 peratus daripada caruman setiap bulan, boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Namun, bagi pencarum yang ingin mengeluarkan simpanan dalam Akaun Sejahtera (akaun 2) dan diletakkan di dalam Akaun Fleksibel (akaun 3), mereka boleh berbuat demikian menggunakan aplikasi i-Akaun.

Bagaimanapun, tidak semua wang dalam simpanan Akaun Sejahtera itu boleh dipindahkan kerana ia tertakluk kepada perkiraan tertentu.

Pencarum dibenarkan membuat pemilihan bagi pindahan akaun iaitu hanya sekali sahaja bermula hari ini sehingga 31 Ogos ini