Ada yang ‘panas’ dengan cara MB Johor buat kerja, terjah CIQ

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sedar ramai yang tidak senang dengan caranya yang sering melakukan terjahan mengejut ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di negeri itu.

Namun jelas beliau, tindakannya yang sering membuat lawatan mengejut ke dua CIQ dan pintu masuk negeri itu adalah supaya nasib rakyat yang berulang-alik bekerja di Singapura setiap hari, terbela.

Untuk itu beliau menegaskan, lawatan mengejut akan tetap diteruskan selagi isu di dua CIQ berkenaan, tidak diselesaikan sepenuhnya sekali gus menghantui rakyat dan penggunanya.

“Saya sedar dan insaf bahawa ramai yang tidak senang dengan kehadiran saya di pintu-pintu masuk utama negara ini.

“Ramai yang tidak suka dengan lawatan-lawatan mengejut saya.

“Namun, percayalah saya tidak akan berhenti selagi mana isu legasi yang menghantui rakyat di negeri dan negara ini tidak diselesaikan.

“Saya yakin dan percaya dengan kepimpinan Imigresen Johor yang baharu, kita akan dapat menyelesaikan isu membabitkan lebih 250,000 rakyat Johor yang berhempas pulas mencari rezeki dengan berulang-alik setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Terdahulu, Liew Chin Tong (DAP-Perling) bertanya bidang kuasa negeri bagi memudahkan pergerakan keluar masuk di sempadan Malaysia-Singapura.

Onn Hafiz mengakui pergerakan keluar masuk antara sempadan Johor-Singapura ini bukanlah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebaliknya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. 

Namun katanya, Johor juga adalah anggota tetap Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap, berkata usaha berterusan akan dilakukan supaya rakyat Johor yang bekerja di Singapura memiliki kualiti kehidupan yang lebih baik.

“Insya-Allah, jika kita memudahkan urusan mereka, Allah juga akan memudahkan urusan kita,” katanya.

BACA JUGA Ramai tak tahu PM dah tebus tanah ‘airport’ Sungai Besi, jadikan rizab orang Melayu

Â