‘Tiada seorang pun dari parti gabungan minta perlahan sedikit lawan rasuah’

Perdana Menteri menegaskan tiada mana-mana rakan dari parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan menganggu agenda reformasi yang cuba dibawanya termasuk memerangi rasuah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persefahaman kukuh dalam kalangan parti yang membarisi Kerajaan Perpaduan juga membolehkan lebih banyak agenda reformasi dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, ini termasuklah dalam soal tadbir urus yang baik serta agenda reformasi dalam pendidikan.

“Pujian harus diberikan kepada parti yang saya terajui dan juga parti gabungan termasuk dari Sabah dan juga Sarawak.

“Ingin saya katakan sudah setahun setengah (saya menerajui kerajaan), tiada seorang pun daripada mereka (rakan daripada parti gabungan) datang kepada saya dan berkata – Anwar, perlahan sikit lawan rasuah atau kami tak sokong pembaharuan ini… tiada (seorang pun).

“Sebab itulah saya boleh lakukannya dengan penuh semangat serta yakin, dan saya percaya Malaysia boleh teruskan lakukan pembaharuan ini,” ujarnya.

Anwar berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan umum di hadapan kira-kira 300 hadirin di Perpustakaan Kebangsaan Qatar di Universiti Hamad Bin Khalifa, Doha.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam sesi syarahan umum hampir 25 minit berkenaan yakin dapat meneruskan agenda reformasi selepas mengambil alih pentadbiran Putyrajaya pada November 2022.

Menyentuh kekuatan Kerajaan MADANI yang diterajuinya, beliau menegaskan ia terletak pada dasar yang jelas.

“Kita ada dasar yang jelas, apa yang kami maksudkan dengan transformasi digital dan transisi tenaga.

“Kita juga ada pelan induk industri yang baharu, begitu juga berkaitan keselamatan makanan,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar turut membangkitkan isu kekejaman serta ketidakadilan seperti yang berlaku terhadap Palestin semasa mengupas tajuk ‘Masa Depan Dunia Islam’.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Qatar dalam misi untuk menarik pelaburan baharu khususnya dari negara Asia Barat.

BACA JUGA Bikin satu Malaysia heboh, geng pemuda bertopeng buat hal lagi