Atlet kayak dilanggar pemandu mabuk, ini keadaan Siti Nurul Masyitah

Atlet kayak Siti Nurul Masyitah Md Elias kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri, Johor.

Nurul Masyitah, 22, yang cedera parah selepas dilanggar pemandu mabuk telah selesai menjalani pembedahan tulang pelvis dan bahu kanan semalam, dan berada dalam keadaan stabil.

Abangnya, Muhamad Syafiq, 29, memberitahu dua pembedahan tersebut dilakukan sekali gus terhadap adiknya yang merupakan anak kelima dalam keluarga mereka.

“Doktor beritahu pembedahan akan datang adalah untuk pembedahan plastik, sebab kulit adik tidak boleh diambil dari anggota badannya yang lain,” dipetik Sinar Harian.

Muhamad Syafiq berkata, kemalangan berlaku ketika adiknya dalam perjalanan ke pusat latihan di Persatuan Kanu Negeri Johor, Bakar Batu di Johor Bahru.

Sementara itu, polis sudah menahan pemandu lelaki mabuk yang melanggar Siti Nurul dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor Bahru, pada jam 4.30 petang, 11 Mei lalu.

Ujian saringan pernafasan ke atas suspek berusia 30-an yang memandu kereta Toyota Vios itu juga mendapatinya positif alkohol.

Polis turut memaklumkan bahawa suspek mempunyai tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan tetapi tidak mempunyai rekod jenayah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, nahas itu berlaku semasa mangsa menunggang motosikal di Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi dilanggar kereta dipandu suspek dari arah belakang pada jam 4.30 petang, 11 Mei.

“Kereta suspek dari arah belakang itu mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA JUGA Harga petrol, diesel kekal hingga 22 Mei