Ditidurkan sejak semalam, ini keadaan terkini ADUN Mata Ayer

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar kini berada dalam keadaan stabil di bawah pemantauan doktor.

Exco Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Perlis itu dimasukkan ke HTF sejak semalam.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pemimpin berusia 48 tahun itu didapati mengalami masalah kesihatan akibat komplikasi daripada sakit tiroid yang dihidapinya.

“Saya difahamkan beliau kini stabil sejak dirawat di HTF bermula semalam dan keadaannya kini masih dipantau oleh doktor.

“Beliau pun ditidurkan sejak semalam selepas masalah tiroidnya mula memberi kesan kepada jantung dan paru-paru juga didapati berair,” katanya.

Mohd Shukri bercakap kepada pemberita di pejabatnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.

Menurutnya, kesihatan Wan Badariah buat masa ini adalah keutamaan dan pihaknya mengesyorkan agar ADUN itu bercuti buat sementara waktu.

“Buat masa ini juga, kita belum mengambil keputusan untuk melantik sesiapa dalam kalangan Exco untuk memangku tugasan beliau.

“Sama-samalah kita berdoa agar kesihatan YB Wan Badariah pulih kembali,” kata Mohd Shukri lagi.

Untuk rekod, Wan Badariah yang juga seorang peguam dan mempunyai firma guaman sendiri di Kedah mencipta rekod sebagai ADUN pertama wanita dari Pas.

Anak jati Padang Siding berkenaan mula menjadi ADUN Mata Ayer selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2022.

BACA JUGA ‘Gheja tu gheja jugak… kesihatan kena jaga YB’