Trak bergerak jual hasil nelayan bakal berada di Lembah Klang

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dijangka melancarkan trak bergerak menjual hasil perikanan atau ‘Mobile Fish Truck’ (MOFIT) pada tahun ini.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada kawasan di Lembah Klang sebagai lokasi perintis.

Beliau berkata, MOFIT bertujuan memasarkan sumber laut kepada pengguna di pusat bandar raya yang harga jualan ikan agak tinggi.

”Jadi, melalui kaedah ini, kita dapat membantu kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat dengan menjual ikan pada harga lebih berpatutan,” katanya lapor BH.

Menurut Faiz yang juga Setiausaha Agung AMANAH, adalah amat penting untuk LKIM memantapkan sistem rantaian bekalan bagi memastikan keterjaminan makanan negara.

Untuk rekod, sembilan juta tan ikan bernilai RM54 juta dijual tahun lalu di pasar nelayan seluruh negara, dan pihaknya menjangkakan jumlah itu meningkat 10 peratus tahun ini.

“Saya tidak pegang kepada konsep bagi ‘ikan’ kepada komuniti nelayan, tetapi kita perlu bagi ‘pancing ‘untuk jangka panjang iaitu bukan sekadar bantuan one off kerana ia tidak membantu secara tuntas,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA Selepas Qatar, Anwar ke Republik Kyrgyz untuk lawatan rasmi dua hari