Bekas pegawai ditahan kes rasuah telaga jejari, ini respon kerajaan Kelantan

Empat lelaki termasuk pegawai kanan syarikat air di Kelantan dilapor telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah pembinaan telaga jejari yang gagal berfungsi untuk membekalkan air kepada penduduk.

Susulan itu, kerajaan Kelantan hari ini memaklumkan akan  memberi kerjasama penuh kepada agensi tersebut.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan Kelantan tidak akan mengganggu proses siasatan yang sedang berjalan.

“Saya menyerahkan kes berkenaan kepada SPRM untuk menyiasat kes ini seadil-adilnya. Kerajaan Kelantan juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Dr Izani Husin berkata SPRM harus menyiasat kes berkenaan secara profesional dan telus.

Semalam, SPRM menahan empat individu lelaki termasuk dua bekas pegawai kanan syarikat air di Kelantan bagi membantu siasatan berkaitan pembinaan telaga jejari yang gagal berfungsi.

Kesemua mereka yang berusia antara 40 hingga 60-an itu ditahan secara berasingan di sini, antara 7 hingga 10 pagi.

BACA JUGA Walaun bab tak siasat dulu memang juara, heboh jenama pizza ini konon hina Islam