Kerajaan Madani terbukti dihormati, Kyrgyz minta Malaysia hantar penasihat

Republik Kyrgyz meminta Malaysia untuk menghantar penasihat kepada kerajaan negara itu dalam menguruskan infrastruktur kewangan selain reformasi ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat itu dizahirkan oleh rakan sejawatnya Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz Akylbek Zhaparov pada pertemuan mereka di Kediaman Negara Ala Archa semalam.

“Beliau kalau boleh minta supaya (kita) melantik seseorang yang boleh menjadi penasihat kepada kerajaan (Republik Kyrgyz).

“Itu tahap penghormatan dan pengiktirafan mereka kepada kerajaan Malaysia.

“… maknanya, apabila hendak berunding tentang soal seperti penswastaan, projek-projek hidro, lebuh raya atau penggalian emas umpamanya, mereka minta kalau boleh kita beri nasihat dan (kongsi) pengalaman kita untuk bantu,” katanya.

Anwar berkata demikian kepada media Malaysia pada sidang media sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke republik itu atas jemputan Presiden Sadyr Zhaparov.

Lawatan Anwar ke Kyrgyz merupakan kunjungan kedua bagi Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh 28 tahun selepas kali terakhir pada 1996.

Republik di Asia Tengah yang merdeka daripada Kesatuan Soviet pada 1991 itu mempunyai pendirian yang sama dengan Malaysia dalam pelbagai isu seperti geopolitik dan ekonomi di pentas antarabangsa.

Sementara itu, menerusi catatan di Facebook, beliau memberitahu pertemuan dengan Sadyr membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama kedua-dua Malaysia dan Republik Kyrgyz termasuklah konflik Palestin dan isu Afghanistan.

“Peluang itu juga digunakan untuk menerokai bidang kerjasama berpotensi antaranya ekonomi, industri halal, pendidikan, pelancongan, budaya, kerjasama antara parlimen, ekonomi digital, tenaga, ketersambungan dan perlombongan,” kata Anwar.

BACA JUGA Bangkai busuk yang dicerita Husam akhirnya telah menerawang…