Puas hati tengok Akmal Saleh bantai ‘ustaz’ JAIM

Adun Merlimau, Dr Muhammad Akmal Saleh menarik perhatian ramai selepas tegurannya terhadap seorang pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) tular di media sosial.

Akmal menempelak pegawai itu kerana menjadi punca 34 murid sebuah sekolah agama terpaksa belajar di atas lantai sejak setahun lalu.

Difahamkan, peruntukan untuk menyediakan kerusi dan meja untuk kegunaan murid telah pun mendapat kelulusan Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka sejak Disember tahun lalu.

Namun apa yang membuatkan Akmal tidak berpuas hati adalah amalan birokrasi dalan JAIM sehinggakan kelengkapan pembelajaran murid masih belum selesai walaupun setelah lima bulan.

“Peruntukkan dah masuk bulan 12 (2023), perlu sampai lima bulan? Ustaz buat apa ni ustaz?…inilah masalahnya kita ambil sambil lewa, buat banyak birokrasi akhirnya sampai lima bulan.

“Orang (rakyat) mengadu dekat saya tanya bila anak-anak boleh dapat tempat duduk (kerusi dan meja) sebab kita duduk dalam Mesyuarat Exco paling lambat pun dua tiga bulan sebab kita dah ada bajet,” tempelaknya menerusi satu video tular di media sosial.

Situasi itu bertambah tegang apabila individu yang dipercayai ustaz JAIM menyalahkan Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka kerana lambat menguruskan perkara itu.

Ketua Pemuda Umno itu kemudian segera menghubungi Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh untuk mendapat kesahihan namun dinafikan Salhah kerana telah meluluskan peruntukan yang diperlukan.

“Sebab birokrasi JAIM ini yang saya rasa melambatkan kerja (dan) kalau nak kerja buat cara nak kerja, ustaz jangan sambil lewa kerana kita ini berkhidmat untuk rakyat.

“Kalau tidak, saya bawa dalam Mesyuarat Exco, kita rombak semua JAIM lagi senang,” katanya yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka

Keadaan bertambah panas apabila ustaz berkenaan memaklumkan memerlukan tambahan lagi tiga bulan untuk menyelesaikan masalah itu.

Dia juga ‘menjawab’ bahawa sudah tidak mahu bekerja di negeri itu lagi.

“Lagi tiga bulan? Jumlah semua lapan bulan?. Tak apa saya tak nak dengan alasan, semua ada 34 murid, minggu depan saya beli.

“Kalau (pegawai) JAIM tak boleh buat kerja, ganti orang lain yang boleh buat kerja cepat. Kalau tak boleh kerja dengan rakyat Melaka, balik,” tegasnya.

BACA JUGA MB Kedah tak boleh ‘move on’, banyak lagi tanah boleh dikomersial