Terima kasih guru-guru yang mendidik saya – Mat Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menzahirkan penghargaan sempena Hari Guru yang disambut pada hari ini.

Katanya, tarikh 16 Mei setiap tahun adalah hari untuk mengingati, menghargai dan berterima kasih kepada insan bergelar guru atas segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan.

”Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru-guru yang telah mendidik saya.

”Semoga segala amal baik yang telah dilakukan dikurniakan dengan ganjaran pahala oleh Allah SWT,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Beliau berkata, kesabaran guru dalam mendidik seseorang itu adalah sesuatu yang amat dihargai.

”Kesabaran serta kasih sayang seorang guru dalam mendidik kita mengenal huruf, lancar membaca sehinggalah berjaya dalam hidup amat kita hargai.

”Dedikasi dan komitmen daripada para guru sekian lama telah berjaya membentuk generasi anak Malaysia yang sayangkan negara ini,” ujar beliau yang juga Presiden AMANAH.

BACA JUGA ‘Sekali bergelar guru, sampai hujung nyawa dipanggil Cikgu’