Pro-AMANAH bakal dilancarkan Jun ini, empat teras lonjakkan parti
Parti Amanah Negara (AMANAH) akan melancarkan Projek AMANAH (Pro-AMANAH) bulan depan dalam usaha untuk memposisikan parti komponen Kerajaan Perpaduan itu untuk jangka panjang.
Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Pro-AMANAH merupakan perancangan strategik parti melibatkan semua sayap daripada peringkat pemimpin hingga ke akar umbi.
Menurut Ahli Dewan Negara berkenaan, Pro-AMANAH akan meneruskan kesinambungan hala tuju parti supaya parti yang ditubuhkan pada 16 September 2015 itu terus melonjak lebih jauh lagi.
“Selepas lapan tahun penubuhan AMANAH, keputusan pemukiman di Seremban pada akhir tahun lalu, kita telah bersetuju dengan kepimpinan yang dilantik bagi sesi 2023 hingga 2027, untuk membentuk satu perancangan strategik parti dengan melihat kedudukan AMANAH pada masa depan.
“Pro-AMANAH bertujuan untuk melonjakkan parti mencapai cita-cita memposisikan AMANAH dalam landskap politik negara,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily, di Shah Alam, semalam.
Sehubungan itu, Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, terdapat empat teras utama dalam membina masa depan AMANAH.
Pertama, kata mantan Ahli Parlimen Parit Buntar berkenaan ialah nilai-nilai yang dikongsi bersama oleh semua ahli dan pemimpin AMANAH.
“AMANAH ini berpandukan politik nilai iaitu Islam rahmat untuk semua. Nilai rahmah inilah paling teras dan perlu diterjemah dan dihayati oleh semua ahli,” ujarnya.
Oleh itu, katanya, akan ada program berkaitan untuk menyatukan pemimpin dan akar umbi untuk mengukuhkan nilai ini.
“Kedua, pengukuhan organisasi parti. Tanpa parti yang kukuh tidak mungkin kita mampu pergi jauh. Itu termasuk dalam semua sistem dalam organisasi kita.
“Ini termasuklah aspek pengkaderan, pentadbiran, hubungan Kawasan dengan Pusat, pengendalian cawangan-cawangan, biro-biro dan persediaan ke arah pilihan raya.
“Semua ini terangkum dalam teras yang sangat utama bagi melahirkan masa depan AMANAH yang lebih cerah,” jelasnya.
Seterusnya, teras ketiga iaitu memasyarakatkan AMANAH.
Mujahid yang juga bekas Menteri Agama berkata, AMANAH perlu berada dalam denyut nadi masyarakat dari segi konteks kebajikan dan gerakan politik termasuk penglibatan wakil-wakil rakyat AMANAH dalam menjuarai kepentingan rakyat.
“Orang ramai akhirnya kan melihat AMANAH sebagai satu produk yang mereka dapat rasakan kebaikan daripada program-program masyarakat yang dilaksanakan,” ujarnya.
Teras keempat, kata Mujahid, adalah kemuncak iaitu memposisikan AMANAH dalam politik tanah air.
Beliau berkata, ketiga-tiga teras sebelum ini seolah-olah membawa AMANAH kepada hasilnya iaitu memposisikan parti dalam dinamika politik negara.
“Orang nampak AMANAH ada kekuatan dan lebih penting daripada itu, kita tidak hanya sekadar parti yang dilabel sebagai parti serpihan, parti kecil atau tumpangan.
“Sebaliknya, AMANAH menjadi parti yang utama, parti yang kuat dan mempunyai wakil rakyat yang ramai serta berpengaruh dalam menentukan dasar pelaksanaan negara pada masa depan,” katanya.
Sehubungan itu, Mujahid menyeru kepada semua ahli dan pimpinan AMANAH agar dapat memastikan kejayaan Pro-AMANAH yang akan dilancarkan pada akhir Jun depan.
“Terdapat juga sesi libat urus di peringkat negeri, kawasan serta program latihan dan aktiviti parti ke akar umbi.
“Semua ini perlu dilakukan dengan akhirnya nanti dapat membawa pulangan yang baik kepada parti,” kata Mujahid lagi.
BACA JUGA Mujahid optimis AMANAH bakal jadi parti arus perdana 5 tahun lagi