Sah penyerang Balai Polis Ulu Tiram anggota kumpulan JI

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram jam 2.54 pagi tadi merupakan anggota kumpulan Jamaah Islamiyah (JI).

Menurutnya, suspek yang dipercayai berusia 34 tahun itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian.

Jelasnya, polis kemudian menyerbu rumah keluarga lelaki berkenaan di Ulu Tiram dan pemeriksaan mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI di kediaman itu.

“Susulan itu, kesemua lima ahli keluarga suspek yang dipercayai anggota serpihan JI ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mereka berusia antara 15 tahun hingga 62 tahun,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, pagi ini.

Dalam serangan awal pagi tadi, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera.

Sementara itu, suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati.

Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

BACA JUGA Gempar lelaki bertopeng serang balai polis, ada yang ditembak dan ditetak

Â