Selepas ‘amukan’ tebuan, kereta kebal Israel pula bedil tentera sendiri
Tidak lama selepas 12 askar rejim Zionis cedera selepas disengat sekumpulan tebuan, lima tentera Israel pula mati terkena bedilan kereta kebal pasukan sendiri.
Lima anggota penjenayah perang yang berusia antara 20 hingga 22 tahun itu terbunuh dalam kejadian dekat utara Gaza petang 15 Mei lalu.
Lapor Agensi, dua kereta kebal melepaskan tembakan ke arah bangunan di kem pelarian Jabalia, tempat tentera terbabit berkumpul.
Pasukan Tentera Israel (IDF) dalam kenyataan memberitahu bangunan dibedil itu digunakan oleh timbalan komander batalionnya.
“Kelihatan kereta kebal dari pasukan payung terjun ultra-Ortodoks ‘Hatz’ mengenal pasti laras senjata yang keluar dari salah satu tingkat di bangunan itu dan mengarahkan satu sama lain untuk melepaskan tembakan ke arah bangunan itu,” katanya.
Sementara itu, jurucakap IDF, Daniel Hagari, mengakui insiden yang berlaku sangat sukar ketika pihaknya di bawah tekanan operasi sangat rumit dan berada di kawasan sangat sesak.
“Kami berada di tengah-tengah siasatan, kami mengambil iktibar. Menjaga keselamatan pasukan kami adalah tugas utama,” katanya.
Insiden itu berlaku apabila Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, dilaporkan berkata lebih ramai tentera akan memasuki Gaza selepas penilaian situasi dilakukan terhadap sempadan Gaza di Rafah.
“Beberapa terowong di kawasan itu dimusnahkan oleh tentera kami dan terowong tambahan akan dimusnahkan tidak lama lagi.
“Aktiviti ini akan bertambah hebat. Hamas bukan organisasi yang boleh menyusun semula kerana ia tidak mempunyai tentera simpanan.
“Ia juga tidak mempunyai stok bekalan dan tiada keupayaan untuk merawat. Hasilnya adalah kita tumbangkan Hamas,” katanya lagi.
Pada 10 Mei lalu, satu kejadian luar biasa berlaku apabila 12 tentera Israel disengat sekumpulan tebuan dalam kejadian di selatan Genting Gaza.
Dalam ‘amukan’ tebuan pada Jumaat itu, 10 daripada tentera zionis terbabit dimasukkan ke Pusat Perubatan Sheba di Tel Aviv termasuk seorang dirawat di unit jagaan rapi (ICU).
Insiden serangan serangga yang mempunyai sengat menyakitkan itu berlaku ketika operasi disertai Briged Divisyen Selatan di sempadan wilayah Gaza.
Â