Selepas tular doktor kerja sampai naik pengsan, ini arahan Menteri Kesihatan
Menteri Kesihatan sudah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan supaya menempatkan semula doktor pelatih (HO) di hospital daerah yang memerlukan dengan kadar segera.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, segala langkah penambahbaikan jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya amat sedar dan insaf dengan keluhan petugas saban hari dan minggu. Dengan 147 hospital KKM dan lebih 3,000 klinik kesihatan di seluruh negara, pasti banyak aduan akan saya terima.
“Teruskan menghantar maklum balas dan kritikan (hanya elakkan kata-kata yang mengundang dosa).
“Saya akan terus ambil perhatian dan bertindak, sementara meneruskan pelbagai pembaharuan saya,” katanya menerusi hantaran di laman X.
Semalam, tular di laman sosial hantaran keluhan kakitangan perubatan sebuah hospital di Kedah, memohon maaf kepada pesakit kerana perlu menunggu lama sehingga lima jam untuk bertemu doktor.
Luahan yang tertera pada papan putih itu antara lain memberitahu bahawa pihak hospital menghadapi kekurangan doktor dengan pegawai perubatan yang ada pula terpaksa bekerja hingga pengsan dan sakit.
BACA JUGA Buka UiTM kepada bukan bumiputera bukan dari kerajaan, ini 7 soalan