Ini sebabnya nama anak Azhar Sulaiman ‘trending’, tak sangka itu reaksi bapanya

Nama anak kepada pelakon Azhar Sulaiman, Kasih Iris Leona, kini sedang trending (sohor kini) berhubung pendiriannya yang berbeza dengan ayahnya mengenai genosid dilakukan Israel di bumi Palestin.

Leona menerusi laman X memberitahu dia yang pernah melawat negara yang sedang dizalimi itu yakin bahawa kekejaman terhadap saudara Islam di sana telah berlaku sejak lama.

“Sebagai seseorang yang pernah melawat Palestin dan melihat keadaan di sana dengan mata kepala sendiri, saya amat menyedari kekejaman yang dilakukan Israel dan mengakui bahawa pembunuhan beramai-ramai itu telah bermula sebelum 7 Oktober lagi,” katanya.

Sehubungan itu, Leona yang sebelum ini tular di media sosial gara-gara pelat menyanyikan lirik lagu Ketipak Ketipung Raya menjelaskan bahawa dia berbeza pandangan dengan bapanya mengenai kejahatan Zionis di Palestin.

Dalam masa sama, gadis yang berusia 22 tahun itu berharap orang ramai tidak menyamakannya dengan Azhar walaupun mereka mempunyai pertalian darah.

“Pendapat ayah saya tidak mencerminkan pendirian saya dan saya sangat menentang Israel berikutan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Palestin,” tulis Leona lagi.

Terdahulu, Azhar mengundang cemuhan pengguna media sosial apabila secara terbuka menempelak rakan artis yang dianggapnya “lantang sangat sokong Hamas” melakukan serangan pada 7 Oktober 2023.

“… silalah pindah ke Gaza sekarang dan bantu orang di sana.

“Jangan sedap mulut saja promote dan sokong orang lain pergi berperang,” tulisnya di platform X.

Aktor berusia 52 tahun itu boleh pula menganggap bahawa mereka tidak perlu melakukan boikot jika masih tinggal di Malaysia dan hidup dengan bahagia.

Walau bagaimanapun, dia kemudian telah memadam hantaran tersebut selepas dihujani kutukan.

Azhar dilihat melenting dengan impak gerakan digital #Blockout2024 yang bermula di luar negara dengan seruan memboikot selebriti yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan atau menyokong Israel.

Malah, kempen itu merebak ke Malaysia dengan tersebarnya senarai puluhan nama selebriti tempatan termasuklah Mira Filzah, Daiyan Trisha, Neelofa, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Janna Nick, Ruhainies dan ramai lagi.

Gerakan yang merupakan satu bentuk solidariti warga dunia dengan perjuangan Palestin bermula di pertunjukan fesyen Met Gala 2024 di New York pada 6 Mei lalu.

Program glamor itu berlangsung pada masa sama dengan serangan Israel ke atas Rafah menyebabkan warganet berang terhadap selebriti yang membisu mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin.

Kesan kempen itu membuahkan hasil apabila bintang realiti, Kim Kardashian contohnya hilang tiga juta pengikut media sosial, diikuti Blackpink, Taylor Swift dan Selena Gomez.

BACA JUGA Selepas ‘amukan’ tebuan, kereta kebal Israel pula bedil tentera sendiri