MP Bukit Gantang anggap surat arahan Bersatu tiada makna

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menganggap surat arahan yang dikeluarkan oleh Bersatu semalam sebagai tiada makna.

“Saya dah pun terima surat berkenaan, tiada apa-apa makna dan saya tak akan jawab.

“Saya nak tunggu apa tindakan mereka (selepas 14 hari) dan jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) pun saya saya akan turun bertanding,” katanya dipetik BH.

Wakil rakyat Bersatu berkenaan malah menegaskan mahu membuktikan tindakan partinya adalah salah.

“Apa yang saya buat adalah mahu menunjukkan tindakan mereka itu tak betul, merosakkan fikiran rakyat dan mengganggu Ahli Parlimen menjalankan tugas,” katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengeluarkan surat kepada semua Ahli Parlimen parti itu yang mengumumkan sokongan kepada kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam masa sama, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beliau turut merujuk surat Bersatu itu kepada peguam serta bekas hakim.

Katanya, pengamal undang-undang terbabit memaklumkan terdapat kesalahan kerana sengaja membuat gangguan dan menghasut rakyat.

Justeru, beliau menjangkakan kesemua enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersedia mengambil tindakan jika perlu bagi memberi kesedaran pada Bersatu.

Semalam, Hamzah dalam kenyataannya memberi tempoh 14 hari kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN terbabit untuk membalas arahan bertulis dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Tegasnya, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian masing-masing dalam Bersatu terhenti dengan serta-merta mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.

BACA JUGA Saifuddin sahkan gerakan JI di negara ini masih terkawal

Â