Anggota Malbatt bertugas di Lubnan meninggal dunia

Seorang anggota Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11), yang bertugas bagi misi Pasukan Pengaman Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), di Lubnan meninggal dunia, awal pagi semalam.

Menurut kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan apabila rebah ketika turun daripada bas di Kem Marakah, sekitar jam 2.25 pagi (waktu Lubnan).

Katanya, Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, baru kembali ke Lubnan selepas selesai bercuti di Malaysia.

“Jenazah Allahyarhamah akan dihantar ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Proses bedah siasat dilaksanakan hari ini pada jam 10.30 pagi waktu Lubnan atau jam 3.30 petang waktu Malaysia,” maklum kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, turut dimaklumkan bahawa ibu kepada empat cahaya mata itu berasal dari Pendang, Kedah dan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai anggota Tentera Darat sejak 2007 serta ditugaskan di Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

“Allahyarhamah sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum diatur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL.

“Markas Angkatan Bersama (MK AB) akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah Allahyarhamah Faridah ke Malaysia.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan selanjutnya,” katanya lagi.

Untuk rekod, MK AB berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara, termasuk atur gerak MALBATT 850- 11 bagi Misi UNIFIL.

BACA JUGA Phua Chu Kang seronok makan nasi lemak Malaysia, siap makan guna tangan lagi

Â