Bila ‘Type K’ susah cari kerja…

OLEH ROZHAN OTHMAN

Mamat telah lama menganggur setelah perniagaan Yong Tau Foo miliknya tidak berjaya. Sebagai seorang pemuda “Type K” dia berkeras menyalahkan orang lain di atas kegagalan perniagaan Yong Tau Foo.

Dia mendakwa perniagaannya telah disabotaj orang “Type C”.  Atas desakan isterinya, dia memohon pekerjaan di beberapa syarikat milik Melayu.

Namun, selepas melalui lima temu duga dia masih tidak menerima sebarang tawaran kerja. 

Pada satu hari ketika dia sedang makan Char Kuey Tiau, dia bertemu salah seorang pengurus yang telah menemu duganya sebelum ini. 

Lalu Mamat bertanya pada pengurus berkenaan kenapa dia sukar mendapat kerja. 

Pengurus itu pun menerangkan kepada Mamat bahawa dia sukar mendapatkan kerja kerana prestasinya ketika temuduga yang tidak memuaskan. 

Pengurus itu menjelaskan; 

“Masih ingat soalan yang saya tanya mengenai rancangan pemasaran yang akan kamu sediakan untuk meningkatkan jualan syarikat? 

Jawapan yang kamu berikan ialah kamu akan memulakan kempen memboikot pesaing kita. 

Demikian juga, bila kamu ditanya apa yang patut kita lakukan jika rangkaian pasar raya terbesar di Malaysia memberi maklum balas pelanggan tidak berpuas hati dengan produk kita.

Jawapan kamu ialah kita boikot pasar raya berkenaan. Dan bila kamu ditanya apa yang akan kamu lakukan jika motivasi pekerja kita merosot, kamu mencadangkan kita harus melibatkan mereka dalam kempen memboikot. 

Bila kamu ditanya apakah kemahiran yang kamu miliki yang boleh kamu ajar dalam program-program latihan, kamu menjawab “Cara-cara memboikot melalui media sosial.”

Selepas mendengar penjelasan pengurus ini, Mamat pun beredar dari restoran itu. 

Sebagai seorang Type K yang berazam tinggi, dia berkata dalam hatinya, “Celaka Mr. Tan ni. Memang perangai Type C.”

Akhirnya dia memohon jawatan yang diiklankan oleh sebuah firma ekspot-import milik usahawan Type C, Mr. Lim. Dia dipanggil menghadiri temuduga.

Mr. Lim: En Mamat, adakah kamu boleh bertutur Bahasa Inggeris?

Mamat: Tidak tuan, Tok Guru saya kata Bahasa Inggeris tu bahasa penjajah tuan.

Mr. Lim: Hmmm, tapi BM kamu pun tidak baik. Kami telah menyuruh kamu menulis karangan 150 perkataan dalam BM. Mana ada istilah “tok se”, “gapo” “ghiyal” dan “ghoyak” dalam BM?

Mamat: Err, ambo tersilap kecek Kelate.

Mr. Lim: Kami juga meneliti akaun FB En. Mamat untuk menilai sikap kamu. Kami mendapati kamu sangat aktif dengan kempen boikot. 

Kamu ajak orang boikot mamak jual cendol kerana dia pakai topi berlogo Adidas. 

Kamu juga mengajak orang memboikot warung goreng pisang Mak Limah kerana dia pernah menjual goreng pisangnya kepada beberapa pekerja stesen minyak Shell. 

Kamu menyuruh orang memboikot Al-Ikhsan kerana mereka menjual kasut dan kelengkapan sukan Adidas dan Nike. 

Roti canai di hujung jalan pun kamu suruh boikot kerana mamak itu beli tepung dari kilang milik orang Cina. 

Si Thamby yang menjual surat khabar pun kamu ajak orang boikot kerana dia tidak berkhatan. 

Bukankah lebih baik kamu tumpukan usaha mengutip derma untuk Gaza? Orang di sana kelaparan dan memerlukan bantuan kewangan, perubatan dan makanan. Adakah kamu lakukan ini?

Mamat: Err, err, tak ada tuan. Tok Guru tak suruh. Tok Guru suruh boikot, buat sembahyang hajat dan doa qunut saja. Kutip derma untuk buka puasa di surau di taman kami adalah.

Mr. Lim: Bagaimana kamu nak bekerja dengan kami? Telefon bimbit kami semua menggunakan Android. Kami turut menggunakan FB untuk beriklan, ada staff di sini suka pakai kasut Nike dan Adidas. 

Bila memandu kami guna Waze, aplikasi yang mula-mula dibangunkan syarikat Israel. 

Syarikat ini juga mengimpot dan membekal biji kopi kepada Zus Coffee. Ramai dalam kalangan staff di sini tidak berkhatan.

Oh, saya nak tanya. Kumpulan Wang Simpanan Rakyat kamu tak nak boikot? Bukankah ia menggunakan khidmat Blackrock sebagai fund manager? Dan bukan Tok Guru kamu guna Mercedes, syarikat yang kuat sokong Israel?

Mamat: Tok Guru kata Blackrock tak pa tuan sebab Blackrock bermakna hajarul aswad dalam Bahasa Arab. 

Kena cium bila pergi Ka’abah. Lagi pun anak Tok Guru menjalankan perniagaan pakej umrah. Pasal Mercedes tu ambo tak tahu lah. Tok Guru ada juga Vellfire dan Triton. Ambo guna Viva saja.

Mr. Lim: Tok Guru kamu boleh speaking? Hebat. Baiklah, soalan terakhir. Apakah yang kamu faham mengenai 4P Pemasaran, Lean Production System, AI dan FOB?

Mamat: 4P ialah…hmmm…. 4P ialah pipi, pinggang, peha dan hmmm… Saya kenallah Lin. Isteri saya bernama Azlin dan orang panggil dia Lin. 

AI tu Azhar Idrus, Ustaz Azhar Idrus. Dia di antara penceramah agama kegemaran saya. Saya tak tahu mengenai FOB. Favour or Boycott? 

Mr. Lim: Oh my, la haula wa la quwwata illa billah. (sambil menggeleng kepala)

Mamat: Bila saya boleh mula bekerja tuan Rashid Lim? 

Demikianlah kisah Mamat “Type K” yang berperwatakan ala Khawarij. 

Kisah ini hanya rekaan semata-mata dan tidak ada kena-mengena dengan yang hidup atau yang sudah mati. Hanya sekadar satira. 

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak berlaku adil.” (Surah Al Maidah: 8)

Penulis ialah mantan rakan kongsi kanan di sebuah firma perundingan pengurusan dan mantan professor pengurusan di beberapa universiti di dalam dan luar negara.

BACA JUGA Teresa Kok terkejut terima surat ugutan bunuh dan dua butir peluru