Orang kampung terpaksa mandi, basuh baju di sungai gara-gara perigi kering
Sekumpulan Penduduk Kampung Baru Lata Tembakah, Hulu Besut, terpaksa bergantung kepada sumber air sungai setiap hari untuk mencuci pakaian selepas bekalan air perigi telah mula kering.
Menurut salah seorang penduduk kampung berkenaan, hampir 50 buah keluarga di situ terpaksa berulang-alik sejauh kira-kira tiga kilometer untuk ke Sungai Kachong, di sini untuk mendapatkan air bersih.
Menurut Che Siti Noraisyah Che Rezani, 32, masalah yang berlaku akibat cuaca panas dan musim kemarau itu telah berlarutan sejak dua bulan lalu.
“Boleh dikatakan hampir 50 keluarga di kampung ini terjejas memandangkan hampir setiap rumah di sini ada perigi sendiri, tetapi, apabila air perigi pun dah kering, kami terpaksa cari sumber bekalan air lain.
“Sekarang kami sekeluarga akan pergi ke sungai setiap hari untuk mencuci pakaian, mandi dan mendapatkan bekalan air bersih,” katanya memetik Sinar Harian.
Che Siti Noraisyah memberitahu, dia akan menunggu tiga anaknya yang masih bersekolah pulang ke rumah sebelum membawa mereka ke sungai untuk mandi.
“Kalau anak dah besar senang sikit nak urus dalam keadaan tak ada air ni. Tapi situasi akan sukar bagi mereka yang mempunyai anak kecil kerana ia melibatkan soal keselamatan,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Che Norasmariza Che Rezani, 20, berkata, selain sungai Kachong mereka juga akan menumpang mandi di kawasan Lata Tembakah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.
“Kami jarang ke Lata Tembakah kerana ia menjadi lokasi tumpuan ramai untuk aktiviti perkelahan. Lagipun ramai orang luar berkunjung ke situ.
“Sebab itulah kami ke sungai-sungai berdekatan untuk mendapatkan bekalan air bersih yang akan digunakan untuk memasak,” katanya.
BACA JUGA Masjid UIA pun khutbah dalam bahasa Inggeris, warganet sekolahkan Rais Yatim