Helikopter dinaiki Presiden Iran masih belum ditemui, ini perkembangan terbaru membimbangkan
Malaysia dikejutkan dengan laporan sebuah helikopter yang membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi, bersama sejumlah pegawai kanan terhempas di barat laut Iran, malam tadi.
Dilaporkan kejadian berlaku ketika helikopter melintasi kawasan pergunungan dalam kabus tebal.
Sehingga pagi ini nasib Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya yang terlibat dalam nahas terbabit masih lagi belum diketahui.
Seorang pegawai berkata, nyawa Raisi dan Hossein Amirabdollahian berada dalam risiko berikutan nahas itu.
Laporan awal menyatakan Raisi dalam perjalanan pulang dari lawatan ke sempadan Azerbaijan di barat laut Iran.
Pegawai itu menambah, pihaknya meletakkan harapan yang tinggi namun maklumat yang diterima dari tapak nahas sangat membimbangkan.
TV kerajaan memetik seorang pegawai berkata, sekurang-kurangnya seorang penumpang dan seorang anak kapal telah berhubung dengan pasukan penyelamat.
Ia juga berkata, helikopter itu telah ditemui walaupun pasukan Bulan Sabit Merah Iran menafikan laporan ini.
Persatuan Bulan Sabit Merah Azerbaijan berkongsi rakaman menunjukkan pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Cuaca buruk telah menyukarkan lagi usaha menyelamat, lapor agensi berita negara IRNA.
Bagaimanapun maklumat dan lokasi SAR berkenaan tidak dapat disahkan secara tepat.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berusaha untuk meyakinkan rakyat Iran bahawa urus tadbir negara tidak terjejas.
Orang ramai turut dilihat berkumpul di ibu negara Iran, Tehran bagi bersama-sama melakukan solat hajat dan berdoa susulan insiden nahas helikopter berkenaan.
Rakyat Iran terus mendoakan kesejahteraan Raisi dan bersedia dengan apa jua kemungkinan.
Sementara itu, media kerajaan berkata, cuaca buruk menjadi punca nahas sekali gus merumitkan usaha menyelamat.
Agensi berita negara IRNA berkata, Raisi menggunakan helikopter Bell 212 buatan Amerika Syarikat (AS) dalam lawatan kerja itu.
BACA JUGA Bukit Aman akhirnya dedah lakaran suspek simbah asid terhadap Faisal
Â