Keputusan terbaru ini kukuhkan lagi peranan Mahkamah Syariah – AMANAH

Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan mengiktiraf peranan Mahkamah Syariah, baru-baru ini.

Naib Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi menyifatkan, keputusan tersebut memperkukuhkan lagi kedudukan Mahkamah Syariah dan perundangan Islam dalam sistem kehakiman negara.

Beliau turut mengimbas kembali tentang penghakiman kes pengisytiharan keluar Islam, difailkan seorang wanita yang mahu membatalkan pengislamannya ketika waktu kanak-kanak.

”Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 2-1 mengesahkan bahawa hanya Mahkamah Syariah sahaja yang mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk memutuskan perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam dan ia perlu dihormati dan dipatuhi oleh perayu.

”Hakim Mahkamah Persekutuan, Abu Bakar Jais juga mengesahkan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah adalah setara dengan Mahkamah Sivil dan ia tidaklah lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil.

”Ini bertepatan dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf pengasingan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah serta bidang kuasa eksklusif yang ada padanya.

”Keputusan ini turut disokong oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Zamri lagi, keputusan tersebut secara langsung menolak pandangan sinis sesetengah pihak mengatakan kononnya Islam terancam dan kedudukan perundangan Islam serta Mahkamah Syariah, tidak dihormati di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

Katanya, pandangan tersebut ternyata meleset sama sekali dan ia cuma polemik kosong yang sengaja didendangkan tanpa henti oleh pihak pembangkang.

”Malah kerajaan sedang dalam usaha gigih dan mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak yang berkepentingan bagi meminda Akta 355 bagi mengukuhkan lagi kedudukan, pentadbiran dan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri.

”Ia sesuatu yang tidak pernah disentuh pun oleh Perikatan Nasional (PN) sewaktu 33 bulan mereka menjadi kerajaan.

”Kami berharap usaha murni kerajaan di bawah Menteri Agama ini dapat direalisasikan secepat mungkin dem i mengukuhkan lagi Mahkamah Syariah dan memartabatkan perundangan Islam di negara ini,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA Helikopter dinaiki Presiden Iran masih belum ditemui, ini perkembangan terbaru membimbangkan

Â