Malaysia berduka, PM Anwar titip ucapan buat rakyat Iran
Malaysia menzahirkan rasa duka susulan insiden helikopter terhempas di wilayah utara Iran melibatkan Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan negara itu termasuk Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan beliau selesa bekerjasama dengan Raisi dan pemergian pemimpin Iran itu meninggalkan kesan mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin.
”Saya sempat ketemu almarhum Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.
”Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat,” katanya menerusi satu catatan di Facebook beliau, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, Malaysia berduka atas tragedi berkenaan dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran.
“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisi-Nya,” ujar beliau.
Menurut laporan agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News hari ini, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.
Reuters pula melaporkan, seorang pegawai kerajaan Iran memaklumkan bahawa helikopter yang hilang itu ditemui ‘terbakar sepenuhnya’.
Dalam kejadian itu, Raisi dalam penerbangan pulang bersama Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa individu lain daripada upacara perasmian sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopternya terhempas ketika hendak mendarat di kawasan Varzaqan pada Ahad.
BACA JUGA Terkini: Ebrahim Raisi, semua penumpang sah maut, keadaan helikopter menyedihkan…