Rawatan Faisal bukan fizikal semata-mata, ada rawatan lain diperlukan

Pihak pengurusan Selangor FC (SFC) akan memohon bantuan Institut Sukan Negara (ISN) untuk melakukan beberapa penilaian psikologi kepada pemain sayap, Faisal Halim.

Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata, rawatan diberikan kepada Faisal bukan hanya secara fizikal semata-mata, malah mental dan psikologi pemain itu juga perlu dirawat.

”Kita akan meminta bantuan ISN untuk melakukan beberapa penilaian psikologi kepada Faisal.

“Kita juga akan membuat kajian mendalam bagi melihat bagaimana psikologi dan emosi Faisal kerana ini juga aspek yang penting sebelum dia kembali beraksi,” katanya memetik BH, hari ini.

Dalam pada itu, tunjang pasukan The Red Giants itu kini telah selesai menjalani pembedahan ‘split skin grafting‘ (SSG), dan perkembangannya akan terus dipantau di hospital.

”Faisal menjalani pembedahan keempat membabitkan prosedur SSG seperti yang dirancang pakar bedah.

”Jadi bagi sebarang perkembangan, saya rasakan kita perlu menunggu 48 hingga 72 jam untuk melihat status Faisal selepas pembedahan itu.

“Insya-Allah ini adalah pembedahan terakhir tetapi kita perlu ingat perkara ini berperingkat dan kita perlu menilai Faisal secara klinikal dari semasa ke semasa. Saya harap tiada prosedur besar-besaran untuknya selepas ini,” ujar beliau lagi.

Menurut Muhammad Hazwan, kesemua empat fasa pembedahan dijalani Faisal merupakan langkah biasa untuk merawat kecederaan lecur dan menjangkakan perkembangannya seperti dirancang.

“Bergantung (keluar hospital) kepada pakar bedah kerana kita bukan hanya melihat kepada status dan maklumbalas terhadap pembedahan, tetapi kita melihat tahap kesihatan Faisal secara keseluruhan,” katanya lagi.

BACA JUGA Anak bongsu Anwar terima tepukan gemuruh, naik pentas graduasi bersama ‘Free Palestine’

Â