Hasbie tunjuk prestasi paling membanggakan, Mujahid bagi ‘A’ kepada Pemuda AMANAH

”Kejayaan melontarkan idea-idea Madani dan Perpaduan dalam ucapan-ucapan mereka kepada pemuda, saya boleh beri markah yang baik mungkin 80 peratus.”

Itu jawapan Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika ditanya tentang peratusan yang boleh diberikan kepada sayap pemuda parti itu dalam mendepani isu dengan idea-idea besar yang diutarakan.

Beliau berkata, peratusan yang agak tinggi juga boleh diberikan kepada pemimpin pemuda iaitu ketuanya, Senator Mohd Hasbie Muda.

Katanya, peratusan agak tinggi itu diberikan berdasarkan antaranya kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Mohd Hasbie ketika bersidang di Dewan Negara.

”Termasuk juga penglibatan beliau dalam ceramah-ceramah parti Pakatan Harapan (PH) dan idea-idea dilontarkan.

”Bagi seorang pemuda yang boleh mengupas dengan tuntas dan menerangkan secara rasional mengenai dasar dibawa kerajaan pada hari ini, bagi saya peratusnya agak tinggi di situ,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily, di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut Mujahid yang juga Pengerusi PH Perak, beliau sering menasihatkan pemuda AMANAH agar menonjol seiring dengan idea-idea besar yang dibawa oleh parti.

”Biarlah penonjolan itu dilihat dalam gagasan besar yang kita bawa, yang menyatukan rakyat Malaysia dan yang menyokong dasar politik damai serta rahmah.

”Kalau ke situ arah penonjolan kita, maka bagi saya di situlah kejayaan AMANAH untuk dilihat sebagai Pemuda, Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) dan Wanita Muda Amanah Nasional (WARDA) dalam kerangka tersebut,” ujar Mujahid yang juga merupakan Ahli Dewan Negara.

BACA JUGA Ada gelombang atau tidak, tapak itu tetap ada’ – AMANAH

Â