Lonjakan kes Covid-19, ini jaminan Kementerian Kesihatan

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata, tahap kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah tinggi ekoran lonjakan baharu kes Covid-19 di Singapura.

Katanya, KKM mempunyai pelbagai pengalaman menangani ancaman wabak itu sejak ia masuk ke negara ini.

“Kita perlu faham virus Covid-19 ini akan terus bersama kita. Jadi, saya sarankan orang ramai terus berwaspada dengan langkah dan panduan dikeluarkan,” katanya.

Lukanisman berkata demikian selepas Majlis Pra Pelancaran Pemberian Imunisasi HPV ‘Catch-up’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, di Selangor hari ini.

 Terdapat peningkatan kes Covid-19 bulan ini yang terus dipantau KKM dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Singapura merekodkan lonjakan hampir dua kali ganda kes mingguan Covid-19, pada minggu 5 hingga 11 Mei dengan sebanyak 25,900 kes iaitu meningkat 90 peratus berbanding 13,700 kes pada minggu sebelum itu.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu, purata kemasukan ke hospital Covid-19 harian turut meningkat kepada 250 daripada 181 pada minggu sebelumnya.

Situasi itu menyebabkan MOH mengambil langkah memastikan kapasiti di hospital awam adalah mencukupi termasuk mengurangkan kes pembedahan elektif yang tidak mendesak dan memindahkan pesakit yang sesuai ke kemudahan penjagaan.

Ditanya media mengenai kemungkinan kes Covid-19 dalam negara akan naik mendadak menjelang cuti persekolahan hujung minggu ini, Lukanisman memaklumkan pihak KKM akan terus memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

BACA JUGA Kecoh anak bekas YB bergaduh, ini status siasatan

Â