Malaysia hantar Mat Sabu ke majlis kebumi Presiden Iran

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mewakili Malaysia untuk menghadiri majlis pengebumian Presiden Iran, Ebrahim Raisi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan perkara itu ketika beliau menghubungi Presiden Interim republik Islam itu Mohammad Mokhber.

Menerusi hantarannya di Facebook, Anwar berkata beliau juga sempat mengimbau pertemuan sebanyak dua kali dengan almarhum Presiden Ebrahim Raisi dan Hossein Amir-Abdollahian pada tahun lepas di New York dan Riyadh.

“Saya telah memberi jaminan kepada Mokhber bahawa Malaysia akan meneruskan komitmen yang dibuat kepada Iran di bawah kepemimpinan almarhum Presiden sebelum ini.

“Mokhber merakamkan penghargaan kepada Malaysia di atas perutusan budi dan takziah sementalahan menyifatkan kedua-dua negara adalah rakan strategik yang menyanjung hubungan politik dan ekonomi yang sangat tinggi,” katanya.

Kata Anwar, Mokhber turut berduka di atas kehilangan dua orang kenamaan besar dalam kemalangan tragis dan malang itu selain meninggalkan pengaruh yang sangat kuat di Iran.

Di akhir perbualan, Mokhber memberi jaminan bahawa hubungan baik dan kerjasama dengan Malaysia akan tetap dipelihara lantas diperkukuh.

Terdahulu, Raisi dilaporkan maut selepas helikopter dinaikinya terhempas di kawasan pergunungan.

Menurut agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.

Reuters melaporkan, seorang pegawai kerajaan Iran memaklumkan bahawa helikopter yang hilang itu ditemui ‘terbakar sepenuhnya’.

Â