Masak mi segera di stesen minyak: Empat didakwa hari ini, ada anak VIP terbabit?
Kes memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands yang mendapat kecaman orang ramai, akhirnya menyaksikan empat individu akan dituduh di mahkamah, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pertuduhan ke atas mereka akan dijalankan di Mahkamah Bentong, Pahang, pada jam 9 pagi.
Mereka yang berusia 23 hingga 24 tahun itu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita.
Empat daripada 15 individu yang ditahan untuk siasatan itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain).
Beliau memaklumkan, selebihnya iaitu 11 lagi individu dibebaskan dan dijadikan saksi dalam kes ini.
Dalam masa sama, Zaiham mengesahkan tiada dalam kalangan 15 yang ditahan berkait kes itu anak orang kenamaan atau VIP.
Sebelum ini muncul dakwaan kononnya dua daripada 15 individu termasuk lima wanita berusia 23 hingga 28 tahun terbabit merupakan anak kepada Timbalan Menteri.
“Semua 15 yang ditahan bukan anak Timbalan Menteri atau VIP,” katanya lagi.
BACA JUGA Selepas heboh parti atas kereta api pertama di Asia Tenggara, ini penjelasan KTMB