Tragedi pesawat SIA: 9 rakyat Malaysia cedera, seorang kritikal

Insiden Singapore Airlines (SIA) dibadai gelora udara melampau semalam menyaksikan sembilan rakyat Malaysia mengalami kecederaan.

Mereka antara 16 rakyat Malaysia yang menaiki pesawat SQ321 dalam penerbangan dari London ke Singapura yang menempuh detik cemas itu.

Kesemua sembilan penumpang terbabit termasuk seorang anak kapal sedang dirawat di dua hospital.

Sebelum itu, penerbangan SQ321 itu mendarat cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand pada jam 3.45 petang waktu tempatan.

Menerusi kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital selain menghulurkan bantuan konsular kepada sembilan penumpang terbabit.

“Pada masa ini, enam rakyat Malaysia dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

“Semua mangsa alami kecederaan fizikal dan dalaman dengan seorang mengalami kecederaan kritikal, tetapi dalam keadaan stabil,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, Kementerian Luar turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga penumpang yang meninggal dunia dan mendoakan supaya semua mangsa yang cedera cepat sembuh.

BACA JUGA Bagaimana keadaan 16 rakyat Malaysia dalam Singapore Airlines yang dibadai gelora udara melampau?

Â