Menderita sakit buah pinggang, anggota Rabbani meninggal dunia

Menderita sakit buah pinggang sejak lapan tahun lalu, anggota Rabbani, Nazrul Azhar Tamrin, 47, meninggal dunia petang tadi.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Saujana Utama, Sungai Buloh meninggalkan seorang balu dan enam anak.

Berita pemergian Allahyarham Nazrul disahkan oleh ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz.

Azadan yang dalam perjalanan ke rumah sahabatnya itu berkata, arwah dilaporkan tidak sedarkan diri oleh keluarganya.

“Saya dimaklumkan arwah tak sedarkan diri dan keluarganya sudah pun menghubungi ambulans.

“Setakat ini, saya belum pasti sama ada jenazah akan dibawa ke hospital atau tidak,” dipetik BH.

Menurut Azadan, arwah ada datang ke kedainya di Saujana Utama tiga hari lalu bagi untuk meminta bantuan bagi pembedahan tangannya yang bengkak.

“Arwah minta bantuan saya untuk dapatkan dana bagi kos pembedahan tangan bernilai RM15,000.

“Jadi, saya merancang mengadakan program supaya dapat membantunya, tapi hasrat itu nampaknya tak kesampaian apabila arwah terlebih dulu pergi,” katanya.

Allahyarham sudah tujuh tahun tidak aktif bersama Rabbani selepas mengalami masalah penglihatan.

BACA JUGA Tragedi pesawat SIA: 9 rakyat Malaysia cedera, seorang kritikal