Penempatan pegawai perubatan siswazah baharu diperluas
Kementerian Kesihatan (KKM) membuka penempatan pegawai perubatan siswazah (PPS) baharu bagi lantikan siri ketiga ke beberapa lagi hospital selain daripada hospital negeri.
Menerusi kenyataan hari ini, KKM memaklumkan keputusan membuka penempatan PPS dibuat memandangkan peratus pengisian slot berkenaan bertambah baik.
“Tawaran penempatan ini dilaksanakan menerusi sistem e-houseman pada 13 Mei lepas yang melibatkan 792 orang calon,” menurut kenyataan itu.
Pada awal tahun ini, KKM memutuskan supaya penempatan dibuka kepada hospital negeri sahaja disebabkan pelantikan PPS didapati semakin rendah dan pengisian slot PPS di hospital negeri juga berkurangan.
Sehingga bulan lalu, KKM telah melaksanakan dua siri lantikan baharu PPS melibatkan 701 orang pada siri lantikan pertama dan 803 orang pada siri lantikan kedua.
“Bagi siri lantikan seterusnya, penempatan PPS di hospital-hospital lain akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa berdasarkan bilangan calon diterima daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta faktor-faktor lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, KKM memaklumkan pihaknya memahami cabaran dihadapi oleh petugas kesihatan di seluruh negara dalam menghadapi peningkatan bebanan kerja dan beberapa langkah akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.
BACA JUGA Tragedi pesawat SIA: 9 rakyat Malaysia cedera, seorang kritikal