Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Ini penjelasan Abu Bakar Bashir
Terkejut selepas mendapat tahu mengenai kejadian serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota pasukan keselamatan dan mencederakan seorang lagi anggota.
Itu antara reaksi pengasas bersama Jemaah Islamiyah (JI), Abu Bakar Bashir menerusi video dihantar anaknya, Abdul Rahim Bashir kepada sebuah portal berita hari ini.
Tokoh agama berusia 86 tahun itu dalam masa sama mengutuk serangan terbabit yang disifatkan bercanggah dengan prinsip Islam.
“Saya mengecam keras perbuatan anak muda membunuh dua orang polis di Malaysia. Membunuh itu bukan ajaran Islam.
“Dalam Islam, apabila keadaan seperti ini, membela Islam cukup dengan dakwah dan doa, bukan dengan membunuh atau mengebom,” kata Abu Bakar.
Beliau turut menegaskan tidak terbabit dengan serangan pada awal pagi Jumaat, 17 Mei lalu.
“Saya sama sekali tidak terkait dengan peristiwa semacam itu dan saya tidak ada hubungan apa-apa (dengannya). Barangsiapa yang menuduh saya, menghubungkan saya dengan perbuatan semacam itu, mereka bohong dan saya ajak (mereka) buktikan di hadapan Allah S.W.T.
“Jangan semberono. Saya sama sekali tidak tahu dan selepas mendengar peristiwa itu, saya terkejut,” katanya.
Dalam masa sama, Abu Bakar menasihati anak muda Islam menolak tindakan keras seumpama itu serta mengelak daripada mudah mengkafirkan orang lain tanpa ada dalil dan alasan dalam al-Quran.
“Kekerasan yang berlaku di Malaysia sama sekali bertentangan dengan Islam,” tambahnya lagi.
Serangan Balai Polis Ulu Tiram minggu lalu menyebabkan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban.
Allahyarham Ahmad Azza ditetak di belakang leher dan kepala manakala Syafiq meninggal dunia akibat ditembak di pipi sehingga menembusi kepala.
Seorang lagi anggota, Koperal Mohd Hasif Roslan yang parah masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
BACA JUGA Ahli Parlimen ditemui maut dibunuh selepas seminggu hilang
Â