Tiga negara iktiraf kewujudan Palestin, ini reaksi Hamas

Keputusan Ireland, Norway dan Sepanyol hari ini untuk mengiktiraf negara Palestin mencipta sejarah tersendiri selepas lebih tujuh bulan zionis Israel melakukan genosid.

Ireland dilapor akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi tidak menyatakan masa.

Sementara itu, pemimpin Norway dan Sepanyol berkata negara mereka akan berbuat demikian mulai 28 Mei ini.

Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store membuat pengumuman itu di Oslo, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez di Madrid dan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris di Dublin.

Susulan itu, kumpulan Hamas mengalu-alukan keputusan tiga negara terbabit dan menyifatkannya sebagai “langkah penting”.

Menerusi kenyataan, kumpulan pejuang berkenaan turut menyeru “negara-negara di seluruh dunia untuk mengiktiraf hak negara kami yang sah”.

“Kami menganggap ini satu langkah penting ke arah mengesahkan hak kami ke atas tanah kami,” kata Hamas.

Ekoran keputusan terpuji Ireland, Norway dan Sepanyol itu, Israel segera memanggil utusannya.

Malah, lebih menjengkelkan apabila Kementerian Luar Israel sebelum ini memberi amaran bahawa “mengiktiraf negara Palestin berisiko menjadikan anda “budak” di tangan Iran dan Hamas”,

Menerusi mesej video yang ditujukan kepada Ireland di platform media sosial X, pengganas dunia nombor satu itu juga menegaskan langkah itu “hanya akan mencetuskan ekstremisme dan ketidakstabilan”.

Bahkan, Israel menganggap rancangan untuk mengiktiraf Palestin adalah “hadiah untuk keganasan” walaupun seluruh dunia melihat pembunuhan beramai-ramai dilakukan Israel di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.

BACA JUGA Bagaimana keadaan 16 rakyat Malaysia dalam Singapore Airlines yang dibadai gelora udara melampau?

Â