Tun M dakwa tiada terima notis mesyuarat RCI
Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa tidak menerima sebarang notis berkaitan mesyuarat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan yang diadakan, semalam.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, prosiding berkenaan dijalankan secara tertutup.
Menurut mantan Ahli Parlimen Langkawi itu, undang-undang mewajibkan kehadirannya atau peguam sepanjang prosiding itu berjalan sehingga ia selesai.
“Bagaimana saya mahu menerang, memberi penjelasan atau mempertahan diri jika saya atau peguam tidak dibenarkan hadir sepanjang prosiding itu berlangsung.
“Prosiding tertutup ini bersidang hari ini (semalam) tanpa sebarang pemakluman kepada mana-mana pihak dan diadakan secara rahsia,” jelasnya dalam kenyataan, semalam.
Tegasnya, selain memohon hak untuknya atau peguam hadir dalam prosiding RCI berkenaan, Tun M berkata, peguam beliau juga membuat beberapa permohonan lain.
Ia termasuklah memohon penarikan diri Tun Md Raus Sharif (Pengerusi RCI), Datuk Dr Baljit Singh Sidhu (Pesuruhjaya RCI) dan Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir (Pesuruhjaya RCI) kerana wujudnya konflik, menurut Mahathir lagi.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 mengisytiharkan Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia, dan Tubir Selatan menjadi hak kepada negara perairannya berada.
Bagaimanapun, Malaysia memohon kepada ICJ supaya mentafsirkan penghakiman pada 2017 memandangkan kedudukan Batu Puteh yang hanya 7.7 batu nautika (14 km) dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor berbanding 25.5 batu nautika (44 km) dari Singapura.
Pada 2018, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh.
Antara alasan Tun M ketika itu ialah perjanjian antarabangsa adalah satu amanah dan Malaysia perlu memenuhinya sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Menurutnya, jika Malaysia tidak menepati syarat mahkamah antarabangsa, Indonesia juga boleh membuat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian yang sama berkenaan Pulau Sipadan dan Ligitan.
Mengulas lanjut, Mahathir juga mempersoalkan prosiding RCI itu yang didakwa dijalankan secara sembunyi sedangkan ia diumum secara terbuka dengan anggota kerajaan memberi pendapat serta membuat kenyataan terhadap dirinya secara terbuka sebelum mula bersidang.
Dakwanya, sejurus mengetahui prosiding itu diadakan semalam, pihaknya cuba menghadirkan diri dan mengemukakan beberapa permohonan dan bantahan.
“Semua permohonan dan bantahan itu ditolak dan prosiding RCI itu akan diteruskan secara tertutup.
“Sebelum ini banyak tuduhan dibuat terhadap saya secara terbuka dan ini termasuk kononnya saya membuat keputusan terhadap rayuan kes Pulau Batu Puteh itu secara sendirian atau sembunyi.
“Ini tidak benar dan sepanjang ingatan saya sebelum saya membuat keputusan, saya rujuk kepada pejabat Peguam Negara serta mendapat pandangan peguam berkaitan.
“Setelah itu saya bentangkan kepada anggota Kabinet dan mereka bersetuju untuk tidak meneruskan rayuan berkenaan,” ujarnya.
Mahathir menambah antara anggota Kabinet yang hadir pada ketika itu adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Anthony Loke, Gobind Singh, Datuk Seri Mohamad Sabu dan semuanya boleh dilihat dalam rekod kerajaan.
BACA JUGA Bagaimana keadaan 16 rakyat Malaysia dalam Singapore Airlines yang dibadai gelora udara melampau?
Â