Anak MB Perlis tak mengaku salah buat ‘claim’ palsu babit minuman Raja

Anak kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kangar hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10.

Mohd Syafeeq, 35, didakwa melakukan tuntutan palsu berkaitan penyediaan minuman untuk kegunaan Raja Perlis yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Februari lalu.

Berdasarkan dokumen arahan pembayaran bertarikh 19 Februari tahun ini, ia mendakwa telah membekalkan air kepada Raja Perlis dengan keseluruhan kos berjumlah lebih RM19,000.

Namun sebenarnya tiada sebarang air minuman yang dibekalkan kepada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail seperti mana butiran dokumen berkenaan.

Tertuduh yang juga pemilik syarikat mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan, dokumen palsu yang dikemukakan tertuduh dipercayai mempunyai kepentingan dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butiran palsu, yang dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa mengikut seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Jika sabit hukuman, tertuduh yang telah berkahwin itu boleh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

BACA JUGA Terkini: Rumah pemain pertahanan Selangor FC pula dipecah masuk

Â