Faisal Halim dikawal ketat? Ini penjelasan SFC

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan, pihaknya akan tetap menyediakan kawalan keselamatan yang ketat kepada pemain sayap pasukan itu, Faisal Halim yang disimbah asid sebelum ini.

Beliau menyifatkan, kawalan keselamatan yang ketat itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga selain memastikan tonggak SFC itu sudah cukup bersedia selepas menghadapi insiden berkenaan.

”Sekarang masih ada security di rumah dan di hospital.

”Kita masih menyediakan kawalan keselamatan sehingga sampai masa dan ketika Faisal merasakan dia tenang dan OK.

“Selepas itu, kita akan bincang dengan keluarga Faisal mengenai perkara tersebut,” katanya memetik Sinar Harian, hari ini.

Pada 5 Mei lalu, pemain berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Insiden berkenaan menyebabkan Faisal mengalami kelecuran tahap empat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, asid yang disimbah kepada pemain itu adalah jenis asid sulfurik pekat.

Selepas insiden itu, dia terpaksa mengharungi empat pembedahan di sebuah hospital swasta di Shah Alam untuk merawat luka lecuran.

Terbaharu, Faisal sudah selesai menjalani pembedahan keempat iaitu ‘split skin grafting’ (SSG) itu, sekali gus memberi bayangan pemain itu akan keluar dari hospital dalam tempoh terdekat ini.

BACA JUGA Terkini: Rumah pemain pertahanan Selangor FC pula dipecah masuk

Â