Jepun sudi bekerjasama dengan Malaysia hantar bantuan ke Palestin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Jepun telah menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Beliau berkata, bantuan berkenaan melingkupi aspek kesihatan, pengurusan sisa pepejal dan pembangunan semula kawasan yang musnah.
”Mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun, Fumio Kishida.
”Dalam pertemuan ini, kami berdua dapat menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara meliputi bidang pelaburan, perdagangan, teknologi tinggi, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan, pembangunan keupayaan dan bakat serta pendidikan tinggi.
”Kami berdua juga turut menyentuh isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama termasuk konflik di Palestin yang mana saya sekali lagi menyatakan solidariti buat rakyat negara itu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap agar hubungan dengan Jepun terus diperkasa, sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara.
Terdahulu, beliau menyampaikan ucaptama beliau pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo hari ini.
Dalam ucaptamanya itu, Anwar mengatakan bahawa Malaysia sesuai dengan keperluan iaitu destinasi selamat untuk tujuan pelaburan.
Beliau menyifatkan status berkenaan penting ketika pelabur khususnya dalam sektor pembuatan, mencari-cari destinasi selamat di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di seluruh dunia.
”Saya berani katakan bahawa Malaysia sesuai dengan keperluan (destinasi selamat untuk tujuan pelaburan)… terima kasih kepada kestabilan kita, tenaga buruh yang mahir, serta keadaan ekonomi dan geopolitik kita.
”Buktinya (kesesuaian Malaysia sebagai destinasi pelaburan) adalah pada angka.
”Pada 2023, Pulau Pinang selaku hab semikonduktor Malaysia menarik AS$13 bilion dalam pelaburan langsung asing, melebihi jumlah gabungan untuk tujuh tahun sebelumnya,” ujar pemimpin itu di pentas antarabangsa.
BACA JUGA Saya berani katakan Malaysia destinasi selamat melabur – PM Anwar