Penumpang Malaysia cerita detik cemas lihat semua terpelanting atas siling

Penumpang pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 yang terbabit dalam insiden gelora udara menceritakan detik cemas bagaimana mereka terpaksa meniarap dan terpelanting di sekeliling kabin sehingga kepala berdarah.

“Saya melihat beberapa penumpang di lorong sebelah terpaksa meniarap sepenuhnya, terpelating hingga ke siling dan kembali seperti kedudukan yang janggal.

“Pada masa sama, kepala penumpang dipenuhi darah dan segelintir daripada mereka pengsan,” kata pelajar, Dzafran Azmir, 28, menurut laporan Agensi.

Dzafran berkata, sebelum kejadian, pesawat yang dinaikinya mencondong ke atas dan tiba-tiba bergegar.

“Tiba-tiba, pesawat menurun secara dramatik sehingga semua penumpang yang duduk dan tidak memakai tali pinggang terpelanting terkena siling dan kepala terkena kabin bagasi sehingga kemek,” tambahnya.

Seorang wartawan Channel News Asia (CNA) melaporkan beberapa adegan beremosi ketika beberapa penumpang dan anggota keluarga saling berpelukan semasa tiba di Lapangan Terbang Changi.

Katanya, ada penumpang dilihat mengalami kecederaan yang boleh dilihat dan berkerusi roda.

Seorang lelaki yang menemani anak lelakinya berusia 20 tahun ke hospital berkata, dia mahu anaknya pergi membuat pemeriksaan selain berharap sihat dari segi fizikal dan mental.

Semasa kejadian pada Ahad, pesawat membawa 211 penumpang dan 18 kru itu sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia mengalami gelora udara yang ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter, kira-kira 10 jam selepas berlepas.

BACA JUGA Penduduk Kedah bengang tanah rizab didakwa dipindah milik kepada bukan Melayu