BerjayaFood umum rugi lebih RM33 juta akibat boikot terhadap Starbucks

Gara-gara boikot besar-besaran yang digerakkan orang ramai, Berjaya Food Berhad, yang mengendalikan beberapa jenama makanan dan minuman termasuk Starbucks, melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM33.16 juta.

Kerugian itu adalah untuk suku kewangan ketiga berakhir 31 Mac 2024. 

Ia jauh berbeza dengan tahun lepas pada tempoh yang sama, di mana BerjayaFood ketika itu mencatat keuntungan RM25.39 juta

Pendapatan syarikat kini merosot hampir separuh, daripada RM265.85 juta kepada RM138.65 juta dalam tempoh tersebut.

“Pendapatan dan kerugian sebelum cukai yang jauh lebih rendah yang ditanggung pada suku semasa yang ditinjau adalah disebabkan terutamanya oleh sentimen semasa berhubung konflik di Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bagi tempoh sembilan bulan sehingga 31 Mac 2024, syarikat itu melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM44.65 juta, berbanding keuntungan RM127.48 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatannya juga menurun daripada RM844.22 juta kepada RM599.74 juta.

Syarikat itu mengaitkan kemerosotan itu disebabkan sentimen oleh “sebab-sebab yang disebutkan sebelum ini”, serta kerugian ‘one off’ daripada jualan pegangannya dalam Jollibean Foods Pte Ltd.

“Tidak termasuk perbelanjaan luar biasa berkaitan pelaburan, kerugian sebelum cukai adalah RM34.15 juta dalam tempoh semasa dalam tinjauan,” katanya.

“Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan sebarang dividen untuk suku semasa dalam tinjauan,” tambahnya.

Ia berkata pengarah syarikat percaya perniagaan syarikat akan bertambah baik secara beransur-ansur sepanjang suku berbaki bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

Sasaran boikot seluruh dunia

Francais Starbucks di seluruh dunia menjadi sasaran boikot oleh mereka yang menyokong perjuangan Palestin, selepas ia mengambil tindakan terhadap kesatuan pekerja di Amerika Syarikat kerana menyiarkan sokongannya terhadap Palestin di media sosial.

Jenama itu telah membantah penggunaan logonya pada mesej kesatuan yang menyokong rakyat Palestin.

Startbucks Malaysia berkata ia menjunjung nilai kemanusiaan dan tiada sebarang agenda politik, tetapi kedai dan pekerjanya menjadi sasaran keganasan kerana maklumat salah mengenai perniagaan syarikat itu.

Pengasas Berjaya Group, Vincent Tan merayu orang ramai untuk mengakhiri boikot terhadap Starbucks, dengan menyatakan 85 peratus pekerja Starbucks Malaysia terdiri daripada mereka yang beragama Islam.

BACA JUGA Penyerang polis tak pernah pergi sekolah, ada keluarga pula suka kafirkan orang – Menteri dedah

Â