Bukan biasa-biasa, Anthony Loke ke Arab Saudi bincang bina terminal khas jemaah haji

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke berbincang dengan Arab Saudi untuk membina satu terminal khas untuk jemaah haji dan umrah di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, langkah itu dapat membantu melancarkan penerbangan ke Jeddah atau tempat lain di Arab Saudi – dengan cara pelepasan imigresen negara itu dibuat di Kuala Lumpur sebelum bertolak.

Menurutnya, fokus utama dalam perbincangan tersebut termasuk menyediakan kemudahan tambahan kepada jemaah umrah Malaysia.

“Saya bangkitkan semasa perjumpaan bersama dengan Menteri Pengangkutan Arab Saudi iaitu untuk membina terminal khas di Kuala Lumpur bagi menguruskan haji dan umrah.

“Kita juga sedang berbincang dengan pihak kerajaan Arab Saudi untuk menambah penerbangan tambahan semasa musim haji supaya ini dapat memudahkan pergerakan haji dari Kuala Lumpur Malaysia ke Arab Saudi,” katanya dalam hantaran video di Facebook miliknya.

Tambah Anthony, dengan pembinaan terminal khas tersebut kerajaan Malaysia berharap pelepasan imigresen Arab Saudi diperluaskan kepada jemaah umrah setiap tahun.

Ujarnya, perkara tersebut diharap dapat direalisasikan dengan kadar segera bagi membantu jemaah dari Malaysia.

“Kemudahan ini juga membantu penerbangan yang datang dari Jeddah atau tempat-tempat lain di Arab Saudi di mana pelepasan imigresen Arab Saudi dapat dibuat di Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Tanah Suci.

“Kita berharap perkara ini dapat direalisasikan segera,” katanya.

BACA JUGA “You Malaysian ke?”, tular video warga asing kena jerkah beli minyak masak subsidi