Jiwa dan maruah petani Kelantan yang mahu dihargai
OLEH USTAZ MUHAMMAD HUSAIN
Hampir setiap hari saya turun ke bendang, bersarapan di kedai kopi menjalankan rutin harian sejak dahulu lagi iaitu pada tahun 1990 ketika ditaklifkan sebagai ADUN Gaal saya lebih suka berdiskusi dengan rakyat di mana mana sahaja.
Di kelantan merupakan medan politik terbuka, terkenal sejak dahulu sebagai universiti politik yang menjadi rujukan banyak pihak.
Punyai sejarah panjang dan bangsa bertamadun, rakyatnya juga punyai maruah tinggi.
Sejak diberi amanah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu KADA, saya memahami akan keperluan dan kehendak rakyat.
Rakyat saya ialah para petani.
Hampir setiap hari saya bertemu petani dan mereka tidak kekok untuk bercerita dan mengadu masalah yang dihadapi.
Apa yang menarik untuk saya kongsi di sini ialah apabila mereka (petani) bercerita tentang maruah.
Maruah yang diperkatakan oleh mereka ialah sebuah penghargaan atas kejayaan dalam usaha mereka menghasilkan padi kepada negara. Mereka juga ingin menjadi ejen penyumbang kepada negara.
Di banyak negara di dunia ini bicara bab Keterjaminan Makanan atau food security, negara kita juga tidak ketinggalan.
Penggunaan teknologi, peningkatan kemahiran, sikap yang positif dan inovasi untuk menghasilkan padi berkualiti menjadi intipati bicara setiap petani di mana-mana sahaja.
PESAK umpamanya ialah natijah daripada komitmen, kesedaran, ihsan para petani di Kelantan agar perlunya gemblengan seluruh petani untuk sama-sama mengangkat kembali martabat mereka sendiri.
Saya nukilkan di muka buku ini sebagai satu penghargaan kepada usaha keras dan tidak pernah putus asa semua petani yang sentiasa menyokong usaha ini.
Alhamdulillah. Saya terharu mereka semua berikan kerjasama terbaik dan kita tidak boleh berlengah terus maju ke depan demi sebuah legasi.
Jiwa petani di bendang, di sawah yang berbumbungkan langit, terkadang hujan dan banyak waktu panas terik, memerah keringat dan teruji keikhlasan hanya ingin menjemput rezeki halal dan barokah untuk disuap kepada anak dan isteri tercinta.
Mereka mengharapkan peningkatan hasil. Apabila rezeki meningkat, dapat berikan lebih keselesaan kepada keluarga.
Mereka tidak mahu menjadi bangsa meminta minta, bukan hanya mengharapkan subsidi itu dan ini semata-mata dan itulah petani alaf baru. Tahniah. Anda jiwa pejuang!
Semoga setiap amal kebajikan kita semua diberkati oleh Allah azzawajalla.
Ustaz Muhammad Hussain adalah Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu KADA
BACA JUGA “You Malaysian ke?”, tular video warga asing kena jerkah beli minyak masak subsidi