PM Anwar ucap tahniah kepada 3 negara ini yang akhirnya iktiraf Palestin

Perdana Menteri menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol kerana berada di landasan yang tepat, mengiktiraf negara Palestin.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketiga-tiga negara itu telah memilih untuk berdiri tegak di jalur kemanusiaan dan prinsip keadilan.

Menurutnya, niat murni mereka untuk mengiktiraf negara Palestin seperti yang diumumkan semalam, adalah bukti bahawa mereka memperakui hak rakyat Palestin kepada prinsip kedaulatan, maruah dan dalam menentukan nasib masa depan sendiri.

“Detik bersejarah ini menggerakkan dunia untuk lebih cepat mencapai dan memperteguh keamanan di benua Timur Tengah. 

“Kepada negara-negara lain yang belum berbuat demikian, fahami fakta ini: bahawa dunia semakin celik kepada aspirasi dan perjuangan warga Palestin,” kata beliau dalam hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Pada Rabu, Norway, Ireland dan Sepanyol mengumumkan keputusan mengiktiraf Palestin.

Pemimpin Ireland berkata, Dublin akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi tidak menyatakan masanya.

Sementara itu, pemimpin Norway dan Sepanyol pula akan berbuat demikian mulai 28 Mei ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menyeru negara-negara yang masih belum membuat keputusan serupa untuk memahami fakta bahawa dunia semakin celik kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Malah, usaha mereka dalam mencari dan menjelmakan keadilan tidak mampu tertahankan lagi.

“Ayuh bersama di garis ini dalam mengemudi sejarah lantas memungkinkan perubahan yang bermakna buat rakyat Palestin,” ujarnya.

Selama beberapa dekad, pengiktirafan rasmi negara Palestin dilihat sebagai pengakhiran proses damai antara Palestin dan Israel.

Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah barat sebelum ini berkata, mereka bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin suatu hari nanti, tetapi selepas persetujuan dicapai mengenai isu-isu seperti sempadan akhir dan status Baitulmaqaddis

BACA JUGA Baru perlawanan peringkat daerah dah berani ‘henyak’ pengadil