Khutbah Jumaat di Perak sohor kini, buat ramai ‘panas’

Khutbah Jumaat di Perak yang dianggap agak berani menongkah arus dengan mesej mengenai boikot, sohor kini di media sosial sehingga menjadi perbincangan ramai.

Teks rasmi khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu menyeru umat Islam menghentikan amalan boikot atau memulaukan perniagaan tertentu.

Petikan khutbah dari Mufti Perak, Wan Zahidi Wan Teh juga tersebar luas di media sosial.

Khutbah itu menyatakan bahawa tindakan boikot harus dihentikan dengan hujah bahawa perbuatan tersebut berlawanan dengan keadilan Islam.

Mufti berpandangan, boikot yang dilakukan ketika ini, tidak menepati sunah baginda Rasulullah SAW dan boleh menjerumuskan kepada berlakunya kezaliman.

“Lebih parah, apabila isu ini telah disensasikan tanpa landasan ilmu dan tanpa hujah yang benar, hingga menyemarakkan sentimen atau perasaan benci dan marah. 

“Maka langkah menoktahi isu ini telah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat,” kata mimbar menurut teks khutbah Jumaat disediakan JAIPk.

Seruan itu hadir ketika kempen boikot berterusan terhadap perniagaan syarikat-syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan pihak pro-Israel.

Sementara itu khutbah bertajuk ‘Menghayati keadilan sejagat dalam kehidupan bernegara’ itu turut memetik analisis ekonomi yang berpandangan pendekatan boikot yang dilakukan bersifat reaktif, berasaskan emosi dan tidak menyelesaikan masalah sebenar.

Yang pasti tambahnya, boikot akan menyebabkan perniagaan yang disasarkan, bukan sahaja mengalami penurunan jualan dan keuntungan, malah berhadapan risiko rugi.

Susulan itu pelbagai reaksi ditinggalkan rakyat Malaysia yang menganggap teks tersebut seolah meremehkan usaha mereka dan tidak berapa lunak untuk didengar.

Tetapi ada juga menganggap ia mesej yang berani untuk menegur sikap sesetengah kumpulan yang memboikot berlandaskan emosi.

BACA JUGA Anwar minta Hamzah jawab, nak terus ‘suap’ subsidi kepada orang kaya ke?