BERITA FOTO | “Railway To See Malaysia” Kempen baharu KTMB tarik pelancong domestik & luar

Gambar: Majlis Pelancaran Railway To See Malaysia oleh Datuk Mohd Rani Hisham Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB di Platform 1, Stesen Kuala Lumpur. 24hb Mei 2024 (Jumaat)

Bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 KTMB telah melancarkan kempen terbaru yang dijenamakan sebagai Railway To See Malaysia bercirikan Rail Tourism di Stesen Kuala Lumpur

Kempen yang diiktiraf dan disokong oleh Tourism Malaysia ini mempelbagaikan kempen pelancongan negara yang sedia ada selain Eco Tourism, Gastronomy Tourism, Health Tourism dan lain-lain yang menjadi pilihan utama pelancong. Ia mensasarkan peningkatan jumlah penumpang tren KTMB secara keseluruhannya dengan kenaikan 5% atau 1.25 juta dalam tempoh setahun bermula dari tempoh kempen ini dilancarkan.

“Ini merupakan inisiatif terbaharu dari KTMB dengan merancakkan persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026. Seperti yang kita ketahui, peminat kereta api berada di setiap pelosok negara. Melalui promosi yang efektif, pakej yang menarik, keindahan pemandangan sepanjang jajaran kereta api, kami yakin dapat menawarkan pengalaman berbeza kepada para pelancong sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi setempat”, menurut Mohd Rani Hisham Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB.

Diskaun Pengenalan Kempen

“Sebagai pengenalan kepada kempen ini, kami menawarkan diskaun tiket ETS sebanyak 30 peratus bagi penjalanan pada setiap hari Selasa dan Rabu sepanjang bulan Jun dan Julai ini. Para pengguna boleh menebus kod promo yang disediakan bermula pada hari ini jam 3.00 petang, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan”, tambahnya lagi.

Di majlis ini juga turut memyaksikan pelancaran logo yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB bersama-sama Pengarah Kanan, Bahagian Domestik dan Acara, Tourism Malaysia, Mohamed Amin Yahya. Majlis ini juga memperdengarkan lagu rasmi Railway to See Malaysia yang dinyanyikan oleh penyanyi popular negara Aizat Amdan.

Tentang KTMB:

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ialah pengendali perkhidmatan pengangkutan rel negara di sepanjang 1,655km rangkaian kereta api dengan 99 stesen dan 75 perhentian di seluruh Semenanjung Malaysia. KTMB menyediakan perkhidmatan penumpang (ETS, KTM Intercity dan KTM Komuter) dan barangan (KTM Kargo).