Fuziah, Mustapha jadi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR

Penyusunan semula kepemimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu menyaksikan dua Timbalan Menteri dilantik sebagai Pengerusi MPN.

Menurut Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil menerusi kenyataan hari ini memberitahu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menjadi Pengerusi MPN Pahang manakala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Pengerusi MPN Sabah.

Antara ahli MPP yang tersenarai dalam penyusunan semula itu ialah Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh dilantik sebagai Pengerusi MPN Johor.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin dipilih sebagai Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan.

Roland Engan pula dilantik sebagai Pengerusi MPN Sarawak, Ahmad Nazri Mohd Yusof (Terengganu), Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor (Kelantan) manakala Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminudin Harun masing-masing kekal sebagai Pengerusi MPN Selangor serta Negeri Sembilan.

Fahmi berkata, PKR turut melantik tiga Ahli MPP baharu iaitu Datuk Dr Sangkar Rasam, Azan Ismail dan Datuk Dr Roslan Hussin.

Jelasnya, mesyuarat turut membincangkan isu kemanusiaan dan peperangan di Gaza serta ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan partinya dalam usaha perdamaian di kawasan bergolak itu.

Fahmi berkata, Anwar, yang juga Presiden PKR, turut memberi penerangan mengenai isu semasa termasuk Perutusan Negara dan dasar kerajaan selain menyeru agar anggota serta penyokong parti menggembleng tenaga dan idea bagi memacu agenda Kerajaan MADANI.

“MPP juga telah membincangkan tahap kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap tidak lama lagi,” tambahnya.

BACA JUGA Selepas berjaya tawan tentera, lapan roket Hamas dilancar ke Tel Aviv