Kabinet bincang kontroversi Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran 29 Mei ini

Mesyuarat Kabinet pada Rabu, 29 Mei ini akan membincangkan isu berhubung Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran (‘Parallel Pathway’).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan hal tersebut ketika ditanya sama ada Kabinet sudah memutuskan cara untuk menyelesaikan kemelut isu berkenaan.

“Kita akan bincang pada Rabu dalam mesyuarat Kabinet,” katanya selepas merasmikan Pameran Era Pasca Normal Madani di Berjaya Times Square hari ini.

Untuk rekod, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan program `parallel pathway’ dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Susulan itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Namun, cadangan itu menerima kritikan pelbagai termasuk mahasiswa UiTM termasuk alumni kerana menegaskan universiti itu hanya untuk bumiputera seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir turut memaklumkan bahawa tiada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM di peringkat kementerian mahupun Kabinet.

Jelas beliau, isu berkenaan hanya sengaja dimainkan oleh pihak tertentu.