Ini penjelasan Fahmi tentang etika kewartawanan

Organisasi media di negara ini diminta untuk saling membantu pengamal media bagi menambahkan ilmu pengetahuan mereka berkaitan etika kewartawanan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tiada undang-undang khusus yang melibatkan etika kewartawanan.

”Tiada undang-undang khusus ,tapi kita minta kawan-kawan dalam bidang media yang ada organisasi seperti Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), National Press Club Malaysia (NPC) dan Malaysian Press Institute (MPI) untuk bantu.

”Bantu dan amalkan atau pun melaksanakan modul-modul dari masa ke semasa untuk menolong rakan-rakan media tambah ilmu mereka tentang etika wartawan dan juga perkara baharu seperti teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam satu sedutan video.

Mengulas mengenai etika dalam teknologi AI pula, Fahmi menyifatkan ia adalah persoalan yang cukup besar.

”Plagiarisme seperti itu tiada undang-undang khusus, tetapi kita dalam proses untuk menggubal rang undang-undang Majlis Media Malaysia (MMC).

”Setelah diluluskan di Parlimen dan diwartakan, kita akan menubuhkan Majlis Media yang mana akan hampir kesemuanya dianggotai wakil media daripada badan-badan media.

”Merekalah yang merupakan badan untuk menguruskan isu contohnya isu disiplin, isu tentang kewartawanan dan inilah badan yang akan ditubuhkan.

”Majlis Media ini lebih kepada ruang memulihkan perbincangan dan memberi pandangan untuk beberapa tindakan diambil sama ada oleh pihal organisasi media atau pihak berkuasa untuk memajukan bidang media,” ujar beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.

Kelmarin, kerajaan dilapor sedang dalam proses menyediakan Analisis Impak Draf Rang Undang-undang (RUU) MMC kepada industri media sebelum dibentangkan di sidang Parlimen akan datang.

Menurut Fahmi, beliau telah meminta proses analisis impak itu diteliti dan dipercepat meskipun perlu mengambil masa.

“Saya telah meminta proses itu diteliti dan dipercepat, ia akan makan masa tapi perlu dilalui, sebelum ini kita belum dimaklumkan tapi sekarang ini kita sedang atur dan kita sedang fasa akhir sebelum ia melalui proses itu,” katanya yang berharap RUU itu dibentangkan pada Oktober nanti.

BACA JUGA Rupanya ini sebab mengapa Fahmi arah organisasi media berdaftar kemas kini maklumat mereka

Â