Kontrak kerajaan Selangor kepada syarikat suami Hannah Yeoh: Ini respon SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melihat sebarang kaitan pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang dalam pemberian kontrak kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu.

“Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan.

“Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara Kerajaan Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” jelasnya.

Azam berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia, di ibu negara hari ini.

Terdahulu, Exco Selangor, Ng Sze Han, menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility ialah suami Hannah, Ramachandran Muniandy.

Mengulas lanjut, Azam berkata, berdasarkan pemerhatiannya dalam laporan media terhadap isu itu, projek berkenaan diberikan oleh entiti lain yang tidak mempunyai kena mengena dengan Hannah.

“Jadi, setakat ini kita tidak nampak apa apa kesalahan setakat ini,” kata Azam lagi.