Negeri ‘Bey sobar bey’ panas terik cecah 40 darjah Celsius berterusan tiga hari

Ibarat lirik lagu sohor kini ‘Bey sobar bey’, rakyat Kelantan di tujuh jajahan nampaknya perlu bersabar menempuh cuaca panas terik dengan suhu maksimum harian mencecah 40 darjah Celsius sehingga 29 Mei ini.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan jajahan Kuala Krai dijangka menerima gelombang haba dengan suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut–turut.

“Cuaca panas dengan suhu diantara 35 hingga 37 darjah Celsius iaitu amaran tahap pertama pula, turut dijangka di enam jajahan lagi melibatkan, Jeli, Gua Musang, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kota Bharu dan Pasir Mas,” menurut kenyataan MetMalaysia.

Dalam tempoh sama, suhu mencecah 37 darjah Celsius turut dikesan di bahagian utara Semenanjung melibatkan Kuala Kangsar dan Hulu Perak.

“Cuaca panas pada tahap pertama turut dikesan di Perlis dan beberapa daerah di negeri Kedah termasuklah Padang Terap, Sik, Baling, Bandar Baharu, Kulim, Timur Laut, Kuala Muda, Pendang, Pokok Sena dan Kubang Pasu.

“Sementara itu, suhu maksimum harian diantara 35 hingga 37 darjah Celsius turut dijangka di Beluran, Sabah selama tiga hari berturut-turut sehingga Rabu ini,” kata MetMalaysia lagi.

BACA JUGA Rupanya ini sebab mengapa Fahmi arah organisasi media berdaftar kemas kini maklumat mereka