‘Sebelum vaksinasi, kita terpaksa gunakan kontena simpan mayat mangsa Covid-19’

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, jika negara tidak menjalankan program vaksinasi, Malaysia mungkin masih tidak boleh buka sempadan negara kepada semua.

“Dengan vaksin, kesan jangkitan adalah rendah. Sebelum vaksinasi, kita terpaksa gunakan kontena untuk menyimpan mayat mangsa Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta mengenai komen beliau susulan kenyataan syarikat farmaseutikal Astrazaneca yang mengakui kesan sampingan penggunaan vaksin Covid-19 keluaran syarikat itu.

Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN) berkenaan berkata, beliau mengakui pihaknya Ketika itu sudah sedia maklum mengenai kesan sampingan vaksin Astrazeneca.

“Kami tahu. Semua vaksin ada kesan sampingan, kami juga tahu jika diumumkan, orang awam takkan mahu dapatkan (vaksinasi), itu keputusan kami perlu ambil (ketika wabak Covid-19),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi meyakinkan rakyat ketika negara berdepan dengan jumlah kematian tinggi akibat Covid-19, kerajaan membuat keputusan memulakan program vaksinasi dengan barisan hadapan negara.

“Selepas itu kami mengumumkan vaksin itu adalah untuk siapa cepat, dia dapat. Dalam masa singkat kita berjaya menghabiskan semua vaksin Covid-19 oleh Astrazaneca ketika itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis di Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa 2024 (MMIHC) anjuran Mercy Malaysia di ibu negara, hari ini.

Ujarnya, kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK)menyedari kesan sampingan vaksin untuk melaporkan kesan advers susulan imunisasi (AEFI).

Menurutnya, terdapat beberapa perbincangan mengenai sama ada vaksin menjadi punca kematian.

“Tanpa bukti, kita tidak boleh buktikan kematian disebabkan vaksin. Sebagai contoh kemalangan jalan raya, adakah akan menyalahkan vaksin kerana pemandu sudah divaksinasi,” katanya.

Jelasnya, tiada peningkatan kes kematian akibat infarksi miokardium untuk data pra pandemik dan ketika pandemik untuk dijadikan faktor menolak vaksin ketika itu.

“Vaksin polio boleh menyebabkan penyakit polio, satu dalam sejuta. Tidak ada perubatan yang menjamin 100 peratus vaksin tanpa kesan sampingan.

“Vaksin boleh menyebabkan kematian tapi keberangkaliannya sangat rendah,” tambah Dr Noor Hisham lagi.

BACA JUGA Negeri ‘Bey sobar bey’ panas terik cecah 40 darjah Celsius berterusan tiga hari