Gurauan gaun dipakai Aishwarya Rai, Chef Wan minta maaf

Chef Wan menegaskan beliau tidak berniat mempermainkan agama Hindu dan memohon maaf atas gurauannya mengenai gaun pakaian dipakai bintang Bollywood, Aishwarya Rai.

Pemilik kepada nama sebenar Datuk Redzuawan Ismail, 66, itu turut memohon maaf kepada Aishwarya dan mengakui begitu teruja melihat penampilan pelakon wanita yang diminatinya itu.

“Bukan niat saya untuk bersikap perkauman atau burukkan mana-mana agama. Sebagai seorang chef televisyen (TV), saya sentiasa menghormati semua budaya dan agama di seluruh dunia.

“Saya mohon maaf kepada semua kerana memuat naik kenyataan demikian,” kata Chef Wan menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram (IG).

Jelasnya, dia hanya berkongsi pendapat dan berseloroh kerana kapsyen yang dibuat bertanyakan mengenai pandangan warga maya terhadap gaun yang dipakai Aishwarya.

Pernah tampil berlakon dalam enam filem tempatan bermula tahun 1996, Chef Wan mendakwa dia hanya berjenaka dan bercakap jujur.

Sebaliknya, kata beliau, komennya disalah tafsir hingga polis terpaksa siasat berikutan ada laporan dibuat.

Terdahulu, polis mengesahkan Chef Wan sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung hantaran di media sosial yang bersifat perkauman membabitkan Aishwarya.

BACA JUGA TPM jemput orang ramai datang ke ILP Kuala Langat, ada apa ya?

Â